Hampir tiga minggu kita masih membincangkan isu yang di timbulkan oleh Hindraf, siapa menyangka setelah 50 tahun Negara kita mencapai kemerdekaan masih timbul isu-isu yang tak masuk akal sebegini. Dakwaan Hindraf amat memalukan. Bukan sahaja bagi kaum India sendiri malah keseluruhan rakyat Malaysia.
Sebagai warganegara Malaysia kita sering berbanga dengan keharmonian Negara kita dengan kepelbagaian kaum di dalamnya. Pengalaman selama 7 tahun dulu dalam bidang perhotelan membuka mata saya betapa kita beruntung dilahirkan dan dibesarkan dalam kelompok negara yang merangkumi pelbagai kaum. Betapa pelancong-pelancong dari luar sana yang pernah saya kenali turut berbanga dengan kepelbagaian kaum di negara ini, yang boleh duduk semeja santai tanpa ada perbezaan warna kulit.
Dalam Negara ini kita bukan hanya berkongsi saat suka malah duka juga. Ibarat pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing, Jadi mengapa harus timbul isu-isu yang sebegini. Sebagai contoh terdekat lihat saja rancangan kelolaan tv3 bersamamu setiap minggu. Bukan hanya Melayu, Cina atau India sahaja di beri perhatian dan bantuan malah kaum-kaum etnik di Sabah dan Sarawak . Dan lihat juga sewaktu banjir besar melanda negeri Johor sedikit masa dulu, tak kira apa warna kulit tetap menerima dan menghulurkan bantuan.
Tindakan Hindraf menghantar memorandum kepada Britain mendakwa kemunduran yang dialami oleh kaum India di Negara ini adalah satu tindakan yang kurang bijak. Secara tak langsung tindakan tersebut akan membuka peluang kepada orang luar untuk campur tangan dalam pengurusan Negara kita, padahal kita sepatutnya mengelakkan perkara seperti itu berlaku untuk mengekalkan keharmonian Negara kita.
Bukannya sesuatu yang mudah untuk pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu mahu pun yang sekarang untuk menaikkan nama Negara kita supaya dikenali, dan dipandang oleh Negara luar. Ianya mengambil masa hampir 50 tahun untuk ke arah itu.
Namun mengapa kita sebagai rakyat dan warganegara Negara Malaysia sendiri mudah benar melatah?...padahal kita di Negara ini diberi peluang dan kebebasan untuk bersuara namun biarlah dalam saluran yang betul bukan dengan tindakan yang boleh menjatuhkan maruah dan martabat Negara kita sendiri.
Bukan hanya rusuhan yang dilakukan oleh Hindraf malah rusuhan yang terjadi sebelum-sebelum ini juga, tidak seharusnya berlaku dalam Negara kita yang mengamalkan sikap tolerensi pelbagai kaum.
Tidakkah kita patut berbangga bila Negara kita yang dulunya pernah dijajah setelah 50 tahun ini, mampu menghantar Syed Muszaphar ke angkasa dan diiktiraf oleh Negara luar sebagai angkasawan, tidakkah terasa sakit di hati kita bila orang luar yang cemburu dengan kemampuan Negara kita melabelkan angkasawan kita setakat pergi melancong?
Sungguh jika benar pun angkasawan kita setakat pergi melancong kita sebagai warganegara Malaysia tetap akan merasa bangga kerana Negara kita mampu menghantar rakyatnya melancong sehingga ke angkasa.
Sebenarnya apa yang berlaku ini amat menyedihkan. Benarlah ungkapan Tun Mahathir sedikit masa dulu bahawa kita ini sebenarnya mudah lupa, lupa pada kesusahan yang pernah dialami oleh orang-orang yang terdahulu dari kita. Perit jerih mereka sehingga mengorbankan diri sendiri, untuk kemakmuran generasi yang ditinggalkan supaya tidak terus dijajah, namun apa balasan kita?...Kita bersikap seolah-olah memang memberi peluang untuk orang luar campur tangan dengan kepimpinan Negara kita.
Dan bila dah tersuap sedikit kesenangan di hadapan mata, kita mula bersikap leka dan manja. Sentiasa mengharapkan bantuan tanpa boleh berfikir untuk berusaha dan memajukan diri sendiri atau lebih tepat lagi memajukan bangsa sendiri. Memalukan sungguh bila kita masih lagi berfikiran sempit dan tak mampu berfikir yang mana baik dan buruknya atas sesuatu tindakan yang kita lakukan.
Selagi kita bersikap membabi buta dan suka memburukkan di antara satu dengan yang lain selagi itulah arus pembangunan dalam Negara kita ini takkan memberi apa-apa makna kepada dunia luar. Malah mereka seronok dan bertepuk tangan atas kebodohan kita sendiri. Jangan dengan sebab kebodohan kita juga, kita dan generasi yang akan datang kerugian.
No comments:
Post a Comment