Takziah kepada pasangan En.Jazimin dan isteri atas pemergian adik Nurin Jaslin Jazimin. Anak yang berusia 8 tahun itu meninggal akibat dari kekejaman manusia hari ini.
Betapa nyawa dan kehormatan yang tidak ternilai harganya dengan mudah dicabuli dan pijak oleh syaitan atau lebih tepat lagi iblis yang bertopengkan manusia, dan kepada sesiapa yang melakukan perbuatan terkutuk itu, tidak ada sedikit pun istilah yang boleh dikaitkan dengannya kecuali 'binatang' walaupun binatang pun lebih pandai menghargai dan berkasih sayang.
Mungkin kita sebagai ibu bapa boleh bayangkan sewaktu kita menghukum anak kita, bagaimana sayu wajah pulus anak kita dan bergenang airmata minta supaya dimaafkan dan diberi pengampunan,itu anak yang kita hukum atas kesalahan bertujuan mengajarnya bukan untuk mendera. Inikan pula anak yang sememangnya didera kerana nafsu menggila iblis yang bertopengkan manusia ini.
Apalah yang anak sekecil itu faham dengan apa yang berlaku? Kanak-kanak seusia begitu hanya mengharapkan kasih sayang dari orang disekelilingnya tanpa ada syak wasangka. Bagi mereka semua orang mempunyai perasaan yang sama seperti ibu bapa yang menyayanginya. Memang tidak terlintas langsung dalam pemikiran kanak-kanak seusianya dengan tindakan kejam manusia disekelilingnya, Dapatkah kita bayangkan saat anak itu merintih kesakitan dalam ketakutan dengan perbuatan-perbuatan kejam manusia didepannya, entah berapa ribu kali kanak-kanak itu menyeru dan merintih ibu dan ayah supaya membantunya, dimanakah orang yang selalu menyayangi dan disayanginya, disaat begitu mungkin pada ingatan dan bayangan matanya hanya ada ibu, ayah, adik-adik dan orang-orang yang dikenalinya yang dirasakan mampu membantunya termasuk juga peniaga-peniaga pasar malam yang dijumpai sebelum itu.
Dan kita sebagai orang asing atau orang luar dari kehidupan kanak-kanak ini adakah kita peka bila melihat kanak-kanak bersendirian tanpa orang dewasa menemaninya? Adakah kita pernah bertanyakan diri kita anak siapa dan mengapa dia berani bersendirian? Dan bila kejadian seperti ini berlaku yang kita biasanya tahu hanyalah menyalahkan ibu bapa terbabit kononnya tidak pandai menjaga anak.Dalam kejadian seperti ini tidak sepatutnya timbul istilah tidak pandai menjaga anak atau yang sewaktu dengannya kerana mana-mana manusia yang bergelar ibu dan ayah sememangnya mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka, siapa mahukan anak yang dikandung dan dibesarkan penuh kasih sayang mati ditangan manusia yang tidak berperikemanusian seperti itu?
Dan kadang-kadang kita juga terlupa, bahawa dalam keadaan kita berjaga-jaga kejadian seperti itu tak mustahil boleh berlaku kepada kita atau orang disekeliling kita yang kita kenali, dan rasanya keluarga Nurin sendiri pun berhati-hati dan banyak mengambil iktibar dari kejadian-kejadian seperti ini yang salah satu contoh terdekat adalah kehilangan adik Yin. Jadi tidak wajar sama sekali kita menyalahkan ibu bapa seratus peratus atas apa yang terjadi sama juga ibarat kita memandu, mungkin kita pemandu yang berhemah tapi tak semua orang seperti kita berhemah memandu, mungkin kerana sesaat pemandu lain cuai secara tak langsung nyawa kita yang melayang.
Kesimpulannya perkara-perkara seperti ini diluar kemampuan kita untuk menghindari apa yang perlu ialah sikap berhati-hati dan keprihatianan kita terhadap persekitaran kita,tak kira dimana pun jika ada sikap prihatin tak mustahil apa yang berlaku kepada Nurin boleh dielakkan. Tak wajar jika kita meletak semua permasaalah ini hanya kepada pihak yang berkuasa adalah sebaik-baiknya tanamkan dan ajarkan kepada anak-anak kita apa tindakan yang sewajarnya boleh mereka lakukan jika mereka melihat teman-teman mereka atau orang disekitar mereka berada dalam keadaan yang mencurigakan.
Untuk keluarga Nurin diharapkan dapat bersabar dan menerima apa yang terjadi dengan reda dan terus sama-sama berdoa dengan keberkatan bulan Ramadhan ini penjenayah Nurin dapat diberkas dan menerima hukuman yang sewajarnya.
No comments:
Post a Comment